mcmc
MPKK

Majlis Sambutan Hari Raya Peringkat Rancangan Felda Redong 01

Pada 5 Mei 2024, bertempat di Dewan Serbaguna Felda Redong, telah berlangsungnya sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Rancangan Felda Redong 01 bagi tahun 2024. Acara kali ini diadakan dengan konsep gerai makanan yang melibatkan pelbagai pihak, diantaranya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) serta Pengurusan Felda, Gabungan Pergerakan Wanita (GPW) Felda Redong, Kami Anak Felda (KAF) Felda Redong, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Redong, serta beberapa badan NGO yang lain.

Majlis yang bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 2 petang ini mendapat sambutan hangat daripada seluruh komuniti Felda Redong. Semua penduduk dijemput untuk hadir memeriahkan acara ini, dan majlis turut diserikan dengan kehadiran para dif-dif undangan yang lain.

NADI Felda Redong telah diberi tanggungjawab untuk memastikan aspek komunikasi dan promosi acara berjalan lancar. NADI Felda Redong  telah menyediakan kad undangan untuk jemputan, video undangan, reka bentuk untuk banner dan bunting, serta buku program.

Antara acara penting yang berlangsung pada hari tersebut ialah meraikan bakal-bakal haji dan hajah yang akan menunaikan ibadat haji pada tahun ini. Majlis ini menjadi platform untuk komuniti menyampaikan ucapan tahniah dan doa  kepada mereka yang akan mengerjakan ibadat haji.

Selain daripada hidangan pelbagai juadah yang lazat di gerai-gerai makanan, majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan gerai tercantik serta pertandingan pelita dan lampu semarak yang dijalankan sempena ramadhan yang lalu. Pertandingan ini bukan sahaja menambah semarak sambutan, malah menggalakkan semangat kreativiti dan kerjasama di kalangan penduduk.

Di samping itu, acara cabutan bertuah juga diadakan bagi menambah keterujaan para hadirin. Pelbagai hadiah menarik disediakan, memberikan kegembiraan tambahan kepada yang bertuah.

Keseluruhan majlis berjalan lancar dan penuh meriah, mencerminkan semangat kekeluargaan dan perpaduan dalam komuniti Felda Redong. Sambutan Hari Raya ini bukan sahaja menjadi satu platform untuk meraikan Aidilfitri, tetapi juga memperkukuhkan hubungan silaturahim dan mempereratkan lagi hubungan di kalangan penduduk Felda Redong. Semoga acara seperti ini dapat diteruskan dan dijadikan tradisi tahunan yang dinanti-nantikan oleh semua.