Pada 6 April 2026 (Isnin), telah berlangsung dengan jayanya Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026 bertempat di Dewan Berguna Felda Redong 1. Program ini merupakan anjuran DUN Kemelah dengan kerjasama Pengurusan Felda Redong 1 serta pelbagai agensi dan pertubuhan komuniti setempat termasuk FPMSB, JKKR, GPW, KAF, Generasi Kedua (Gen 2), Koperasi, Badan Masjid, BKKK, RELA, SK Felda Redong, SA Felda Redong, Tadika, PDK, NADI, Klinik Desa, Kelab 10 Ribu Langkah, Persatuan Pengusaha Lori serta Persatuan Peniaga.
Penganjuran majlis ini bertujuan menyemarakkan sambutan Aidilfitri di samping memperkukuhkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat. Program yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan muhibah ini turut menjadi platform penyatuan komuniti selaras dengan aspirasi memperkukuh perpaduan Bangsa Johor melalui penglibatan menyeluruh pelbagai lapisan masyarakat.
Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Saraswathy a/p Kandasami, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk serta para jemputan yang hadir. Dalam kesempatan tersebut, Yang Berhormat ADUN Kemelah bersama Pengurus Felda telah menyampaikan sumbangan duit raya kepada para penerima sebagai simbol keprihatinan dan tanda berkongsi kegembiraan sempena bulan Syawal yang mulia.
Secara keseluruhannya, Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026 telah berlangsung dengan lancar dan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat. Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai medium memperkukuh jalinan kerjasama strategik serta memantapkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat Negeri Johor khususnya di Felda Redong 1.


















